Thursday, November 12, 2009

X-FAKTOR PIKAT SUAMI

Penulis:NOOR LAILA ANIZA BINTI ZAKARIA
LLB Hons(Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang UIAM)
Peguambela&Peguamcara

Perunding Motivasi/Penceramah di bawah bimbingan Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah,yang juga merupakan Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd.
www.excel-training.com.my
zulaila4@yahoo.com/03-89262501

(TERBITAN MAJALAH NONA 15 OKTOBER)

Beberapa bulan yang lalu,ketika saya ditugaskan memberi ceramah untuk kakitangan sebuah syarikat swasta ,selepas selesai sahaja ceramah,saya didatangi seorang wanita cantik kacukan Melayu-Arab.Kagum dengan wajah jelita itu,saya tertanya-tanya apa yang ingin dia kisahkan pada saya.Hampir sejam menunggu,saya cepat-cepat meminta maaf kerana tidak dapat melayannya tadi.Dalam senyumannnya dia menghela nafas panjang.Rambut paras bahu berwarna keperang-perangan dikuis ke belakang.Dia menggenggam erat tangan saya.

“Suami saya kawin lain.”
Air mata tidak dapat ditahan lagi.Saya merenung anak matanya sambil menggangguk-angguk tanda faham.

“Sebelum ni saya hanya dengar cerita sahaja.Tetapi sekarang dah confirm.Dari dulu
saya melayannya sehabis baik.Sampai hati dia kahwin lain…”

“Berubah tak layanan dia selepas kawin?”Saya menyoal minta kepastian.

“Tak berubah langsung.Sama saja,malah kadang-kadang tu dia sayang saya melampau-lampau.Tapi saya tak sanggup kongsi kasih.Saya sedih dengan perangainya di belakang saya.Anak laki saya yang berumur 6 tahun pernah ambil handset papanya dan terkejut bila lihat ada gambar papanya bercium mulut dengan perempuan lain,lalu dia tunjukkan gambar tu pada saya.Sedangkan gambar saya satu pun tak ada dalam handset dia.
“Ni bukan gambar mama kan,ni gambar papa dengan siapa?Kenapa papa buat mama macam ni?”Waktu tu saya rasa bergetar seluruh badan.Malam-malam terfikir mesti dia tengah peluk perempuan tu,mesti apa yang dia buat dengan saya,dia buat dengan perempuan tu juga.Hari-hari saya menangis..”

Tersentak tangkai jantung saya ketika itu.Bukanlah kerana terkejut,tetapi sakit pedihnya kata-kata wanita ini memang ada kebenarannya.

Suami Bukan Milik Kekal
Saat pertama perkahwinan anda,pastikan anda sedar,suami bukan milik kekal.
Manusia berubah bila-bila masa.Dia boleh hilang bila-bila masa sahaja samada kerana tuhan mengambilnya semula atau kerana dia membawa masuk orang lain dalam hidup anda atau dia memilih jalan meninggalkan anda.Elakkan terlalu yakin bahawa perkahwinan yang anda bina akan kekal hingga akhir hayat.Usah terlalu yakin ,bahawa perkahwinan yang kekal hingga akhir hayat tidak pernah dicemari dengan kecurangan dan gangguan pihak ketiga atau apa saja dugaan yang menyesakkan dada.Sentiasa bersedia dari segi mental,emosi,spiritual & ekonomi untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.Tanamkan dalam hati,hari ini dia ada,mungkin esok,dia tiada.Gunakan masa-masa berkualiti yang ada untuk merasa nikmat bahagia& sedaya upaya elakkan pertelingkahan dengannya.

Manjakan suami berpada-pada
Isteri yang baik ialah isteri yang menyediakan segala keperluan suami tanpa pernah merasa letih dan jemu.Namun,kasih-sayang yang berlebihan akan memakan diri sendiri.Memanjakannya berlebihan membuatkan suami berada dalam zon selesa & terlalu yakin isteri sangat mencintainya hingga kadang-kadang suami mudah mengambil kesempatan .Dia tahu,anda tidak sanggup berpisah dengannya.Jadi berhati-hati.Nabi juga pernah bersabda, “sebaik-baik pekerjaan adalah yang di pertengahannya.”Jika benci,jangan benci keterlaluan,jika sayang,jangan sayang berlebihan.Ada ketika,anda pula perlu menguji kasih sayangnya pada anda ikhlas atau sebaliknya.

X-Factor pikat suami
Sentiasa berada dalam keadaan wangi & cantik di hadapan suami .Elakkan suami tercium bau yang kurang menyenangkan dari anda.Pamerkan kecantikan dalaman & luaran dan pikat suami dengan X-Factor anda.Menurut pakar-pakar psikologi,setiap manusia ada X-Factor tersendiri.Misalnya,X-Factor anda ialah masakan anda yang lain dari lain,atau air mata yang membuatkan suami lemah,atau kesetiaan anda walau seteruk mana anda dilukai,atau
mungkin sinar lembut wajah anda yang membuatkan suami tenang bila berada di sisi.Dan X-Factor ini tidak dapat suami ketemu di mana-mana kecuali pada diri anda.Sejauh mana suami pergi,anda akan sentiasa di hatinya.Dia mencintai anda kerana dia tidak dapat menemui nilai yang sama dalam diri orang lain seperti mana bernilainya diri anda padanya.


Pasrah setelah berusaha
Jaga mata suami,telinganya,deria baunya,nafsunya,perutnya dan tidurnya.Jaga imannya supaya selalu bersama Tuhan dan tahu tanggungjawabnya bahawa anda dinikahi sebagai satu amanah dari tuhan.Berdoa selalu pada tuhan.Suburkan kasih sayang dari hari ke hari dengan bermacam-macam teknik.Dan seandainya
semua usaha telah dibuat tetapi,dia tetap juga memilih untuk memadukan anda atau meninggalkan anda ,bukannya bermakna dia tidak mencintai anda lagi.Kadang-kadang perkara terjadi tanpa disedari,kerana kalam Allah telah tertulis demikian.Tetapi destinasi cinta paling abadi adalah pada Tuhan.Mengadulah pada-Nya,nescaya anda mendapat kekuatan.Sakitnya seperti pisau yang ditusuk ke jantung berkali-kali,tetapi pahalanya seperti pasir pantai yang tiada terhitung.Apa yang Allah beri,pasti ada hikmah di sebaliknya.Yakinlah & teruskan hidup dengan positif.




No comments: