Tuesday, November 10, 2009

~KNOWING ME IS KNOWING MY RELIGION :)

APA ITU ISLAM?
Islam itu yakin Allah itu satu.Muhammad itu Nabi Allah.Nabi Allah bererti pesuruh Allah.

YAKIN YANG BAGAIMANA?
Yakin dengan sebenar-benarnya bahawa tiada tuhan lain.Tiada ragu-ragu.Hanya ada satu tuhan sahaja.Percaya sepenuh hati.Tuhan itu ALLAH.Dan percaya sepenuh hati bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.Nabi Muhammad itu bukan tuhan.Dia hanya manusia biasa yang dilantik oleh Allah sebagai pesuruhnya.Semua perkataan di dalam Al-Quran adalah daripada Allah dan tidak ada satu ayat pun daripada manusia.

“ASH HADU ALLA ILLA HA ILLALLAH”
AKU NAIK SAKSI (AKU BERSUMPAH) BAHAWA TIADA TUHAN YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH

“WA ASH HADU ANNA MUHAMMAD DARRASULLULLAH”
DAN AKU NAIK SAKSI (BERSUMPAH) BAHAWA NABI MUHAMMAD ITU PESURUH ALLAH

BAGAIMANA ALLAH ITU?

Allah itu satu.Bukan binatang.Bukan tumbuhan.Bukan Patung.Allah itu tidak boleh dibayangkan oleh apa juga bayangan.Allah tidak boleh dicipta dan diukir dengan apa juga bentuk.Tidak ada rupa bentuk yang spesifik.Tidak ada sesuatu yang menyerupai Allah samada wujud atau dalam bayangan.Tidak boleh membayangkan Allah itu ada dua mata,atau satu mata,atau tangan,atau kaki atau apa sahaja bayangan.Allah itu wujud.Percaya dan yakin dengan sebenar-benarnya bahawa Allah itu wujud tanpa mengetahui bagaimana wajahnya.Seperti juga angin..bagaimana rupa angin?bulat?bujur?empat segi?ada kaki?ada tangan?Tetapi mengapa kita percaya angin itu wujud?Kerana kita merasa angin itu di wajah kita tiap kali ia menghembus atau pada rambut kita yang berterbangan ditiup angin atau pada daun-daun yang bergerak ditiup angin.Allah juga begitu.Kita merasa Allah itu di dalam hati kita dengan penuh yakin bahawa dia wujud…keyakinan yang tiada ragu-ragu.Keyakinan yang tiada syak wasangka.Sepenuh hati.Suatu hari nanti,kita pasti dapat melihat wajah Allah di akhirat(dunia selepas kematian & dihidupkan semula untuk pembalasan)

Katakanlah Muhammad,Allah itu satu(esa).
Dialah tempat meminta (segala hajat)
Dia tidak melahirkan(tidak ada ibu bapa) dan tidak dilahirkan(tidak ada anak)
Dia tidak menyerupai suatu apa pun”
AL-QURAN SURAH Al-IKHLAS(JUZ 30)
AYAT 1-4

APAKAH PEGANGAN ORANG ISLAM?
Orang Islam berpegang kepada dua asas utama iaitu AL-QURAN dan AS-SUNNAH

APA ITU AL-QURAN?
Al-Quran itu adalah kata-kata Allah.Terkandung segala perintah dan larangan daripada Allah.Semua sejarah-sejarah penciptaan langit dan bumi,kejadian alam,kejadian manusia,kisah syurga dan neraka,kisah kaum-kaum yang terdahulu dan semua kisah kehidupan,ekonomi,sosial dan perhubungan,harta benda,keturunan,perkahwinan,kenegaraan,haiwan,tumbuh-tumbuhan,segala-galanya ada di dalam Al-Quran.Al-Quran bukanlah sebuah buku yang ditulis manusia.Nabi Muhammad tidak pernah menulis kerana sejarah membuktikan Nabi Muhammad itu buta huruf dan tidak tahu membaca.Al-Quran adalah kata-kata Allah yang diturunkan kepada malaikat Jibrail(Allah berkata-kata dengan Malaikat) yang kemudian kata-kata itu diperdengarkan oleh malaikat kepada Nabi Muhammad dan kemudian Nabi Muhammad menyampaikan kata-kata tersebut kepada semua umat manusia.Pada zaman dahulu,kata-kata itu dihafal satu persatu oleh semua sahabat-sahabat Nabi Muhammad dan ada yang ditulis di atas daun-daun kering dan kulit haiwan untuk mengelakkan ayat-ayat itu disalah baca atau dilupakan.Dan akhirnya barulah seorang sahabat Nabi bernama Muadz bin Jabal menulis ayat itu dengan sepenuhnya dan mengumpulkannya.Tidak ada satu pemalsuan pun dari ayat-ayat tersebut.Tidak ada tokok-tambah dari manusia melainkan sepenuhnya seratus-peratus seperti mana-mana kata-kata Allah sahaja.

APA ITU SUNNAH NABI?
Sunnah nabi adalah segala perbuatan,kata-kata,tingkah laku dan amalan hidup nabi sehinggakan nabi diam juga dikatakan sunnah nabi.Dengan kata mudah,sunnah nabi ini adalah cara hidup nabi dan amalan sepanjang kehidupannya sejak dia dilantik menjadi Nabi pada usia 40 tahun.Dengan kata lain,
sunnah nabi adalah penjelasan tentang apa yang tertulis di dalam Al-Quran.

APA TANGGUNGJAWAB SEORANG ISLAM?
Melakukan segala yang diperintah Allah dan meninggalkan segala larangannya.

APA MAKSUD MENJADI ORANG ISLAM?
Islam itu adalah kepercayaan tentang tuhan itu satu dan menolak mana-mana tuhan yang lain.Tiada penyembahan atau tiada perantaraan antara apa sahaja makhluk,tiada bantuan dewa-dewa,tiada pokok,tiada patung-patung,tiada bantuan Nabi Muhammad,tiada ukiran-ukiran.Percaya dan memohon apa sahaja terus kepada tuhan yang satu.Tidak ada tuhan ilmu,tidak ada tuhan kekayaan,tidak ada tuhan pencipta dan tidak ada tuhan pemusnah.Tuhan itu satu,Hanya Dia sahaja yang memberi apa sahaja,samada ilmu pengetahuan,kekayaan,susah atau miskin,hidup atau mati,hanya Dia sahaja yang berkuasa.Tiada tuhan lain.Tidak boleh meminta kepada Nabi Muhammad.Nabi Muhammad hanya manusia biasa.Allah yang melahirkan setiap manusia,dan Dia yang mematikan dan menciptak semua yang di langit dan di bumi.Dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakinya.Dia tuhan yang satu.


Orang yang bukan Islam,jika memeluk Islam,tidak perlu menukar nama mereka kepada nama Arab.Mereka boleh kekal dengan nama yang sedia ada kecuali jika nama itu merupakan salah satu nama tuhan-tuhan atau dewa-dewa sembahan mereka sebelum ini.Maka perlu menukar kepada nama yang lebih baik dalam bahasa mereka sendiri dan itu tidak menjadi apa-apa masalah.Islam itu bukan menukar nama tetapi keyakinan dan kepercayaan.Nabi Muhammad pernah menyebut bahawa apabila kita memanggil nama,maka panggillah dengan panggilan yang baik.Kerana nama itu akan menjadi satu doa.Maka letakkanlah nama yang baik-baik.

Orang yang memeluk Islam,hubungan dengan ibu ayahnya sepatutnya menjadi lebih baik dari sebelumnya.Di dalam Al-quran,ada menyebut,sekali-kali pun tidak boleh meninggikan suara pada ibu dan ayah walaupun dengan berkata ‘Uh..”maka berdosa…Justeru hati ibu dan ayah perlu dijaga sebaik mungkin.Segala keperluan dan hajat mereka perlu ditunaikan kecuali jika hajat itu melanggar perintah Allah.Contohnya mereka meminta kita sama-sama bersembahyang dengan cara mereka.Maka itu tidak dibenarkan.Ataupun mereka meminta kita sama-sama minum arak dalam majlis yang diraikan.Maka itu juga tidak dibenarkan.Tidak boleh sama sekali melukakan hati ibu dan ayah apatah lagi membuatkan mereka menangis.Ada sesetengah ibu bapa yang mengugut untuk membunuh diri jika anak-anak mereka memeluk Islam,Jika kita yakin bahawa yang berubah hanyalah kepercayaan kita,tetapi kasih syg kita pada keluarga kita sama sekali tidak berubah,maka buktikan kepada mereka.Dan jika kita yakin kita di jalan yang benar ,maka katakan pada mereka bahawa
“Saya hanya manusia biasa.tuhan itu satu.Dialah yang memberi nyawa dan dia juga yang akan mengambil nyawa.Bukan saya yang memberi nyawa dan bukan saya yang berhak mengambil nyawa,bukan sebab saya kamu hidup selama ni dan bukan sebab saya kamu mati melainkan semua ini dalam tangan tuhan“.Dan katakan pada mereka juga,jika mereka penganut agama yang baik,tentulah mereka tidak akan mengambil nyawa mereka sendiri seperti membunuh diri.”

Dari segi makanan pula,kita bebas makan apa sahaja kecuali yang jelas disebutkan di dalam Al-quran.kita boleh makan bersama keluarga dengan syarat jika kita makan daging,maka setiap haiwan perlu disembelih dengan cara islam.dan sembelihan ini hendaklah menyebut ‘Bismillah hirohaman nirrohhim ‘-Dengan nama allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani ‘ dan hendaklah putus urat tengkuknya dengan sempurna dan dengan cara yang betul seperti diajarkan di dalam Al-quran.Paling mudah,beli sahaja daging ayam atau kambing atau lembu yang bertulis halal di pasar raya atau dari kedai-kedai penjual islam.Dan daging itu boleh dinikmati bersama-sama keluarga.Semua itu adalah untuk menggelakkan kuman di dalam darah yang terkumpul oleh binatang yang disembelih tadi dan juga untuk menggelakkan kita menyembelih dengan nama tuhan lain/dewa lain.Kita boleh menggunakan periuk yang sama yang sebelum ini digunakan untuk memasak tetapi pastikan periuk itu sebelum ini tidak pernah dimasak daging babi atau anjing di dalam.Sekiranya ada,maka periuk itu perlu disamak (dibersihkan dengan cara yang diajarkan di dalam Al-Quran,mula-mula basuh menggunakan air tanah(basuhan yang pertama) dan kemudian bilas 6 kali lagi dengan menggunakan air biasa.Kajian saintifik membuktikan tanah mempunyai mineral yang boleh membunuh kuman berbahaya.Semua itu juga sekali lagi untuk memastikan kuman-kuman dari kedua binatang ini tidak ada pada barang-barang dapur tersebut.Begitu juga dengan pisau yang digunakan,sudu dan segala alatan dalam rumah jika pernah bercampur dengan bahan-bahan yang haram maka perlu disamak.Jika tidak penah menggunakan daging babi atau anjing,maka kita bebas menggunakan barang-barang tersebut.Atau jika terlalu sukar,maka belilah periuk yang berlainan.Kita boleh menjamah apa sahaja masaka yang dimasak oleh ibu kita yang bukan islam, asalkan masakan tadi tidak bertentangan dengan makanan-makanan yang halal dan menggunakan periuk yang bersih(suci).


TAGGUNGJAWAB SEBAGAI ISLAM
Mengucap dua kalimah syahadah
(ashhadu alla illa ha illallah,wa ash ha du anna Muhammad darra sullullah)
“Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah”
~sesiapa yang pernah sekali seumur hidupnya mengucap kalimah ini,maka tempatnya di syurga~

SEMBAHYANG 5 WAKTU
Sebelum setiap kali mula sembahyang,hendaklah berwuduk/mensucikan diri
Basuh seluruh muka
Basuh tagan sampai ke siku
Basuh ubun-ubun/kepala
Basuh kaki sampai ke buku lali

(Sembahyang Subuh)-5 minit
(Sembahyang Zohor)-10 minit
(Sembahyang Asar)-10 minit
(Sembahyang Maghrib)-7minit
(Sembahyang Isyak)-10 minit

(Bererti setiap orang Islam yang menjaga sembahyang akan mensucikan/membersihkan dirinya 5 kali setiap hari)



Mengeluarkan zakat
(Bukan seperti sedekah biasa atau memberi wang kepada orang miskin, tetapi ada sedikit peruntukan (berdasarkan kemampuan) yang ditetapkan oleh agama yang akan diberikan kepada orang-orang dalam golongan tertentu yang diiktiraf perlu dibantu

Berpuasa di bulan Ramadhan
Berpuasa selama sebulan-dengan dimulakan niat
-Sahaja aku puasa di bulan Ramadhan semata-mata kerana Allah Taala.


Menunaikan haji
-Menunaikan sekali seumur hidup haji di Mekah bagi yang berkemampuan

APA LARANGAN ALLAH SETELAH MEMELUK ISLAM?
Dilarang berzina
Dilarang minum arak
Dilarang memakan makanan yang haram seperti daging babi
Dilarang menderhaka pada ibu bapa
Dilarang Riba & menipu dalam perniagaan
Dilarang membunuh(kecuali untuk mempertahankan diri dengan syarat-syarat tertentu)
Dilarang mencuri
Dan ada beberapa lagi larangan yang tersebut dalam Al-Quran yang semuanya mudah diamalkan untuk kebaikan bersama

APA KELEBIHAN ORANG BUKAN ISLAM YANG MEMELUK ISLAM?
~Dia adalah orang yang bersih seperti bayi yang baru lahir.Allah memberitahu orang bukan Islam yang memeluk Islam itu ,maka dia menjadi bersih dan suci dan tiada satu dosa pun dan dia bersih umpama kain putih ~kerana pada waktu dia belum memeluk islam,dia tidak mengenali Islam lagi,dan dia tidak melihat betapa indahnya menjadi seorang Islam,jadi kita tidak boleh menghukumnya untuk apa sahaja kesilapannya yang lalu.

Orang yang baru memeluk Islam akan menjadi suci untuk kali pertama apabila dia mandi dengan niat”Sahaja aku mandi,membersihkan seluruh tubuhku dari hadas besar,kerana Allah “(niat ini boleh dibaca dalam hati dalam bahasanya sendiri,india,cina,inggeris…)
Untuk setiap laki-laki Islam dan wanita Islam,setiap kali melakukan persetubuhan,atau selepas tempoh keluar darah haid,maka mereka perlu mandi.Mandi ini seperti mandi biasa tetapi perlu ditambah niat di dalam hati.Kajian saintifik juga membuktikan niat memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang dari segi ketenangan hati dan kebersihan diri.Justeru,apabila dia berniat dan mandi yang selama ini dia tidak pernah melakukan keadaan sedemikian seumur hidupnya,maka dia menjadi suci bersih.Kalau selama hidupnya dia mandi tanpa apa-apa niat,kali ini dia mandi dengan niat untuk Tuhan dan bersih segala-galanya .


APA KEINDAHAN LAIN DALAM ISLAM?

Setiap orang Islam dijamin tempatnya di syurga asalkan dia pernah seumur hidupnya mengakui Allah itu sahaja Tuhannya dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.Maka tempatnya telah tersedia di syurga.Tetapi jika dia banyak berbuat dosa,maka Allah akan menghukumnya terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam syurga.

Wanita Islam bertudung dan perlu memakai pakaian yang tidak ketat,tudung perlu menutup sampai ke paras dada.Ini untuk menjaga diri kaum wanita itu sendiri kerana mereka sememangnya cantik dan kaum lelaki sangat bernafsu kepada wanita.
Ini juga untuk menjaga kaum lelaki,membantu kaum lelaki supaya dapat mengawal keinginan hati
Tapi mengapa masih ada kes rogol?Dan kadang-kadang yang dirogol itu wanita yang bertudung?
Ini kerana suruhan bertudung itu bukan untuk seorang wanita,tapi wanita-wanita seluruhnya.Lelaki yang merogol tadi,telah banyak melihat wanita-wanita lain yang tidak bertudung dan seksi,samada di jalan raya atau di dalam tv,dan mereka ini menyimpan sahaja nafsu dalam hati mereka,tetapi pada suatu hari,ketika tiba-tiba terpandang seorang wanita,ketika itu nafsu datang memuncak dan tidak dapat dikawal,kebetulan pula wanita itu bertudung,teringat susuk tubuh wanita-wanita seksi yang pernah dilihat sebelum ini,maka dia merogol.Bukan salah wanita yang bertudung itu,atau mengatakan bertudung itu tidak efektif,tetapi seluruh wanita-wanita lain menanggung kesilapan ini kerana disebabkan kecuaian mereka tidak mengikut agama,maka banyak wanita-wanita lain menjadi mangsa.

Wanita dan lelaki tidak boleh bersentuhan sesuka hati kecuali selepas berkahwin dan kecuali atas sebab-sebab tertentu seperti berjumpa doktor dan doktor menyentuh untuk merawat pesakit,atau atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.Persentuhan dibolehkan antara ahli keluarga sendiri (seperti ibu bapa,adik beradik laki-laki dan perempuan)
Maka setiap inci tubuh badan adalah untuk pasangan masing-masing.Tidak boleh memeluk atau bercium walau sekadar cium pipi untuk laki-laki dan perempuan dan tidak boleh bersalaman laki-laki dan perempuan.Ini bukan sahaja menaikkan martabat diri seorang laki-laki dan wanita tetapi juga membuktikan betapa bernilainya harga diri setiap individu dalam Islam.

Tidak boleh memaksa orang bukan islam untuk memeluk islam
Di dalam Al-Quran terkandung ayat paling utama ialah SURAH AL-KAFIRUN (AYAT 1-6)
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Katakanlah -Hai Orang-Orang kafir(bukan Islam)
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah
Dan kamu tidak akan menyembah apa yang aku sembah
Aku tak pernah menyembah apa yang kamu sembah
Dan kamu tak pernah pula menyembah apa yang aku sembah
Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agama aku


Jadi,tidak boleh sekali-kali memaksa orang bukan islam memeluk islam tetapi hanya boleh menjemput dengan cara yang baik.Jika dia tidak mahu,teruslah berkawan dengannya,mendoakan dia dan tetap berbuat baik padanya.Jika sampai ke akhir hayatnya juga dia tidak mahu memeluk Islam,tetaplah kita menjadi kawannya yang baik dan meyanyanginya.Ramai orang yang berpelajaran tinggi,hebat fikirannya dan dia menjadi orang yang sangat-sangat terkemuka dengan kepakarannya,tetapi dia tidak mampu mengkaji tentang kebenaran agama yang dianuti.Dia dilahirkan dan mengikut kepercayaan agama yang dianuti oleh nenek moyangnya,ibu ayahnya dan sedikit pun tidak berani menentang dan dia yakin dengan agama anutannya.Di dalam Islam,kita perlu belajar dan mengkaji setiap agama dan mencari kebenaran.Ternyata,tidak ada satu bukti yang mengatakan Islam itu tidak lengkap dan tidak sempurna.Teruslah mengkaji dengan akal fikiran,melihat dengan mata yang terbuka,dan mencari dengan hati yang benar-benar ingin mengetahui kebenaran.
Ada banyak agama di muka bumi ini,mengapa kita fikir agama kita yang benar dan agama orang lain salah?Kita hanya perlu menyelidik dan mencari agama yang benar-benar sesuai,mudah dipraktikkan,tidak membebankan,logik,dan tidak menyusahkan serta mendatangkan ketenangan yang sebenar.


Mengapa ada orang Islam yang tidak baik?
Kerana mereka tidak mengamalkan apa yang ditetapkan dalam Islam.Jika diamalkan tentu mereka menjadi baik.Cubalah berkawan dengan orang Islam yang baik budi pekertinya dan baik agamanya,tentu kita akan tertarik dengan Islam.Hati perlu lembut.Janganlah kita sia-siakan peluang sekali yang kita ada di dunia ini.Mencari kebenaran dengan semua deria yang kita miliki.Melihat dengan mata,mendengar dengan telinga,berfikir dengan otak,usahakan dengan tangan,melangkah dengan kaki,berjumpa setiap orang yang betul-betul pandai dalam setiap agamanya untuk kita menemui jawapan yang sebenarnya.

Selamat Datang ke Islam
Tiada Paksaan
Tiada Permusuhan
Hanya Ketenangan yang sebenar
Islam itu mudah
Berpuluh-puluh tahun kita hidup di atas muka bumi,dan kita terus hidup dalam agama yang kita tidak pernah mengkaji kebenarannya dan tidak pula kita ada masa untuk mengkaji agama orang lain sedangkan kita orang yang bijak pandai.Tak tahu pada siapa yang kita sembah dan betulkah apa yang kita sembah?Saya mengkaji semua agama.Tidak rugi jika kita bertanya tentang Islam,jika tidak berminat,maka kita boleh terus kekal dalam agama sendiri.
Tetapi amat merugikan jika tidak pernah mengetahui apa-apa yang benar tentang setiap agama bahkan tidak pernah habis mengkaji agama sendiri.
~Tetapi pastikan kita bertanya pada setiap orang yang benar-benar bijak dan arif dalam agama masing-masing~

Islam itu mudah
Hanya percaya Allah itu SATU.HANYA SATU.
ALLAH SAHAJA TEMPAT MEMINTA SEGALA HAJAT.ALLAH TIDAK MEMPUNYAI ANAK & TIDAK DILAHIRKAN
(TIDAK BERKELUARGA&TIDAK BERSAUDARA MARA&TIADA DEWA-DEWA)
ALLAH ITU TIDAK MENYERUPAI SESUATU APA PUN

menyakini bahawa ALLAH itu wujud dengan melihat setiap sesuatu yang ada dalam muka bumi ini..langit ,bumi,lautan,gunung-ganang,setiap nafas yang kita sedut,setiap darah yang mengalir dalam tubuh badan kita,setiap mineral dan enzim yang tak dapat dilihat dengan mata kasar,setiap kerdipan mata kita yang kita sendiri tidak dapat mengawalnya,tentulah ada PENCIPTA YANG SANGAT SANGAT HEBAT di sebalik kejadian itu semua.SIAPAKAH DIA?TENTULAH DIA SANGAT-SANGAT HEBAT ,apa yang DIA perlukan dari kita ?Dia tidak perlukan apa-apa dari kita kerana DIA TERLAMPAU HEBAT!!!tidak perlukan bantuan siapa-siapa,tidak perlukan penyembahan makanan-makanan atau DIA tidak menyuruh kita menyeksa diri untuk mendekati kasih sayangnya,DIA HANYA PERLUKAN KITA MENGINGATINYA SETIAP MASA-LAKUKAN APA YANG DISURUH DAN TINGGALKAN APA YANG DILARANG....dan suruhan dan larangannya tentulah tidak menyusahkan kita bahkan menyenangkan hidup kita dan mententeramkan hati kita.








2 comments:

bisnes coklat said...
This comment has been removed by the author.
bisnes coklat said...

Assalamu'alaikum ustzh. Sebagai muslim kita perlu menunaikan segala suruhan Allah dgn sebaiknya. Saya nak minta pandangan ustzh berkenaan mak mertua yang tidak tahu Fardhu Ain. Wudhu' blm sempurna apatah lagi solat. Utk solat beliau cuma hafal Alfatihah dgn makhraj yang masih salah dan tidak hafal tahiyat akhir. Adakah saya & suami bertanggungjawab mengajarnya sedangkan beliau kurang minat utk belajar atas alasan kurang pendengaran. Terim kasih. Wassalam